Sunday, March 9, 2014

Hadapi Dugaan Dan Masalah Dengan Bijak

Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang paling besar hinggalah masalah yang paling kecil semuanya tetap dinamakan masalah. Cuma masalah yang dihadapi seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Biasanya sebelum masalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana kita tidak tahan menghadapinya.


Ujian Iman
Masalah sebenarnya ujian Allah s.w.t kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketaqwaan kita terhadap-Nya. Sebab sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh dengan keseronokan dan sentiasa ingin mencuba benda yang baru walaupun perkara itu jelas haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia, contohnya mengambil dadah dan hanyut dalam dunia maksiat, dengan adanya ujian seperti ini, ia akan kembali mengingati apakah hidup kita selama ini mengikut peraturan atau landasan yang telah ditetapkan Alllah ataupun telah jauh menyimpang.

Setiap masalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang menyiksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah s.w.t untuk menguji sejauh mana iman kita. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana firman Allah :

"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan "kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang berdusta." (al-Ankabut:2-3)

Darjat Di Sisi Allah
Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai 'kifarah' dosa yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya> Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah :286 yang bermaksud "Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya"

Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka." (at-Taubah:11

Cara Mengatasi Masalah
1. Sandarkan harapan pada Allah s.w.t
Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1 hingga 8 yang antara lain maksudnya ".....Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan"

" Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal." (At-Taubah: 129)

2. Mintalah pertolongan dari Allah
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (al-Baqarah:45)

3. Jangan sedih dan kecewa
" Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamubersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." (al-Imran :139)

Yakinlah dengan janji Allah itu dan jangan cepat berputus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat firman Allah di bawah:

"....dan jangan lah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir" (Yusof : 12)

4. Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai, walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang kita tanggung.

5. Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain, mungkin masalah orang lain lagi besar dari masalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan masalah.



Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan taqwa kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah tersendiri.


" Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." - (al-Baqarah:216)

No comments:

Post a Comment