Wednesday, March 12, 2014

Takut Kepada Allah s.w.t

Dari Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:

"Sesungguhnya Allah menciptakan Malaikat. Sayapnya yang sebelah mencapai bumi bahagian timur. Yang sebelah lagi mencapai bumi bahagian barat. Kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di dasar bumi ketujuh. Ia mempunyai bulu sebanyak bilangan makhluk Allah. Ketika seorang lelaki dan perempuan daripada umatku membaca selawat kepadaku, maka Allah memerintahkan Malaikat itu agar menyelam ke dalam lautan dari Nur di bawah Arasy. Malaikat yang menyelam itu kemudian keluar dan mengibas-ngibaskan sayapnya sehingga setiap bulu menitis setitis Nur. Daripada setiap titisan itu Allah menjadikan Malaikat yang memohonkan keampunan bagi orang-orang tersebut sampai hari Kiamat".

Syair Tanda Seorang mubib

Abu Tawwab telah bersyair menyebutkan tanda seorang Mubib:

Janganlah engkau tertipu.
Seorang kekasih punya tanda.
Punya hadiah untuk kekasihnya.
Pahit bala-Nya dirasa nikmat.
Diterima gembira apa pun yang dia perbuat.
Tidak diberi pun tidak mengapa.
Kefakiran dianggap penghormatan saja.
Kau lihat keinginannya.
Hanyalah mentaati kekasihnya.
Kau lihat mukanya berseri.
Hanya si Dia yang ada di hati.
Dia taat segala ucapan-Nya.

Allah Maha Besar

Keutamaan Surah Al-Ikhlas

Dari Abu Darda’ r.a : Nabi saw bersabda, “Tidak sanggupkah kamu membaca sepertiga Quran dalam semalam?” Mereka balik bertanya, ‘Bagaimana cara membaca sepertiganya?’ Jawab Nabi saw, “Qul huwallahu ahad.....(Surah Al-Ikhlas) sama dengan sepertiga Al-Quran.”

Tuesday, March 11, 2014

Doa Menghadapi Kesusahan dan Menghilangkan Kebimbangan

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلـٰهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي ، وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِي ، فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Wahai Tuhanku, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang lain melainkan Engkau, Engkaulah Tuhan yang menciptaku. Akulah hambaMu dan aku akan mengotakan segala ikrar dan janjiku denganMu sedaya upaya yang ada padaku. Aku berlindung denganMu dari kejahatan perbuatan yang telah kulakukan. Aku mengaku kepadaMu terhadap nikmat-nikmat yang telah engkau kurniakan kepadaku dan aku juga mengaku dengan dosaku. Oleh itu ampunkan daku kerana sesungguhnya tiada siapa yang boleh mengampunkan dosa melainkan Engkau.

Monday, March 10, 2014

Menjaga Aib Sesama Insan

Aib adalah merujuk kepada rasa malu oleh sesaorang atau orang yang dekat dengan sesaorang akan sesuatu keadaan yang tidak elok mengenai sesaorang itu tertedah atau diketahui umum. Rasa malu ini boleh membawa kepada kesan saikologi yang sangat negatif kepada sesaorang yang diaibkan itu, sehingga memungkin sesaorang itu mencabut nyawanya sendiri atau mengalami gangguan mental yang amat dahsyat.

Ajaran Islam melarang keras aib sesaorang itu didedahkan atau diceritakan. Islam mengajar kita agar kita orang-orang beriman tidak sekali-kali berkata-kata walau apa dan macam mana sekalipun tentang sesuatu keadaan yang tidak elok mengenai sesaorang.

Allah swt berfirman dalam Surah Al Hujarat Ayat 12 bermaksud:

[49.12] Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Sabda Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam yang bermaksud:

“Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Kita sepatutnya menutup aib sesama Muslim dan berhenti daripada menyebut-nyebut serta menyiarkannya, sebagaimana firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah (menyiarkan) tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.” (Surah an-Nûr:19)

Sabda Rasulullah Sallallhu ’alaihi wasallam lagi yang bermaksud:

“Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat.
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

"Tiada seorang yang menutupi aurat( keaiban) orang di dunia, melainkan Allah akan menutupi keaibannya di hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim)

Tidaklah seseorang itu banyak bercakap akan aib orang lain, menyebutkan kesalahan dan mendedahkan aib mereka melainkan orang itu orang munafiq yang terhina.

Jadi adalah wajib bagi setiap Muslim, menutup aib saudaranya dan malah hendaklah menasihatkan secara sulit, lemah lembut dan penuh hikmah kerana bimbang saudaranya itu akan ditimpa celaka dengan sebab perbuatannya itu.

Dari 'Aisyah radhiallahu'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau semua memaki-maki orang-orang yang sudah mati, sebab sesungguhnya mereka itu telah sampai kepada amalan-amalan mereka yang sudah dikerjakan dahulu -sewaktu di dunia, baik kebajikan atau kejahatan." (Hadis riwayat Bukhari)

Allah amat murka kepada mereka yang menyebarkan keaiban di dalam masyarakat. Sehingga disebabkan mereka maka masyarakat menganggap kejahatan itu merupakan suatu yang biasa dan masyarakat merasa tidak aman daripada buah mulut orang lain. Kerana itulah Allah SWT mengharamkan mengumpat sebagaimana yang difirmankan di dalam ayat berikut:

Keaiban kadangkala dianggap suatu yang baik untuk dikongsi di atas banyak sebab, antaranya untuk melepaskan tekanan perasaan, untuk menimbulkan rasa insaf, sebagai pelajaran bagi orang lain, untuk menjadikan diri dipandang mulia, memberi alasan dan sebagainya. Atas apa alasan pun, membocorkan keaiban merupakan suatu yang dilarang oleh Allah dan Rasul. Rasulullah SAW bersabda:

"Seorang Muslim itu saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkan dia teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya maka Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Dan siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di hari akhirat." (HR Bukhari)

Bahkan, keaiban yang dilarang untuk diceritakan itu bukan cuma keaiban orang lain. Keaiban diri sendiri juga harus dan perlu ditutup oleh setiap orang. Rasulullah SAW bersabda:

"Semua umat ku selamat kecuali orang yang terang-terangan melakukan dosa. Dan termasuk terang-terangan itu adalah seorang yang melakukan dosa di waktu malam gelap mendadak pagi-pagi diceritakan kepada orang lain. Padahal semalam Allah telah menutupi dosanya itu tetapi setelah paginya dia membuka apa yang Allah tutup itu." (HR Bukhari dan Muslim)


Seandainya keaiban tadi adalah keaiban orang lain pula, maka itu sudah masuk ke dalam kategori mengumpat dan seperti yang Allah fimankan tadi, perbuatan itu diumpamakan seperti memakan daging saudara kita yang telah mati. Jelas perbuatan ini merupakan punca perpecahan dan perbalahan sesama muslim. Bahkan, seperti juga membuka aib sendiri, membuka keaiban orang lain juga memotivasi orang yang mendengar untuk berkongsi keaiban orang lain yang dia ketahui juga. Maka tersebar luaslah keburukan dan keaiban di dalam masyarakat sehingga terbuka luaslah pintu-pintu kehancuran, fitnah dan perpecahan di dalam masyarakat.

Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun yang terlepas dari melakukan kesalahan. Rasulullah SAW bersabda,

"Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat."( HR Ahmad).

Maka, selagi mana perbuatannya itu tidak dilakukan secara terang terangan maka perlakuan itu haruslah dirahsiakan dan dia tidak dihukum disebabkan dosanya itu.

Dari Umar bin Khattab ra, katanya

"Manusia pada zaman Rasulullah SAW berhukum dgn dasar wahyu, dan sekarang wahyu telah tidak turun lagi, sekarang kamu kami hukum dengan menurut apa yang nyata bagi kami tentang kerja mu. Barang siapa yang nyata bagi kami baik, kami amankan dan kami benarkan. Kami tiada mengetahui sesuatu yang dirahsiakan, hanya tuhan yang menghitung yang dirahsiakannya itu. Siapa yang nyata bagi kami jahat, tidak kami amankan dan tidak kami benarkan, walaupun dia mengatakan bahawa yang dirahsiakan hatinya baik. (HR Bukhari)

Bahkan barangsiapa yang melakukan kesalahan yang sepatutnya dijatuhi hukuman hudud sekalipun ke atasnya, lalu Allah menutupi keaibannya itu, maka dia seharusnya menyembunyikan keaibannya itu lalu bersungguh-sungguh bertaubat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang melakukan kesalahan hudud lalu disegerakan hukumannya di atas dunia, maka adalah Allah terlalu adil untuk mengenakan padanya hukuman kali kedua di akhirat. Barang siapa yang melakukan kesalahan hudud lalu kesalahannya ditutup oleh Allah SWT, sehingga dia terlepas darinya, maka Allah adalah teramat pemurah untuk menghukum orang yang telah dilepaskan dari hukuman oleh-Nya." (HR Ahmad, dia berkata hasan gharib. Al-Hakim, dia berkata sahih menurut persyaratan Bukhari dan Muslim).

Begitulah bagaimana Islam sangat-sangat menuntut kita agar menjaga aib sesaorang dan juga aib kita sendiri. Sebaiknya adalah kita hendaklah kurang bercakap kecuali atas hal-hal yang penting dan perlu.

Begitu juga membaca bahan-bahan yang senantiasa membuka aib orang lain yang sangat banyak dipasaran hari ini.

Memohon Pertolongan

Ibnu Abbas r.a berkata: Aku pernah berada di belakang Rasulullah s.a.w pada suatu hari dan baginda bersabda: Wahai anak muda peliharalah (ajaran) Allah nescaya dia akan memelihara engkau peliharalah (ajaran) Allah nescaya engkau akan mendapatkan-Nya dihadapanmu. Jika engkau meminta sesuatu mintalah kepada Allah dan jika engkau minta pertolongan mintalah pertolongan kepada Allah.

Sunday, March 9, 2014

7 Sunnah Untuk Diamalkan Setiap Hari

Hendaklah kita sentiasa menjaga tujuh sunnah nabi s.a.w setiap hari.

Ketujuh-tujuh sunnah Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w itu adalah:

1. Tahajjud
Hal ini kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

2.Membaca Al-Quran sebelum terbitnya matahari
Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaik-baiknya membaca Al-Quran terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

3. Jangan tinggalkan masjid
Masjid merupakan pusat mencari keberkatan bukan kerana muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

4. Jaga solat dhuha
Kunci rezeki terletak pada solat dhuha

5. Jaga sedekah setiap hari
Allah menyukai orang yang suka bersedekah dan malaikat mendoakan untuk orang yang bersedekah pada setiap hari.

6. Jaga wuduk terus menerus
Allah menyayangi hamba yang berwudu'. Kata khalifah Ali bin Abu Talib r.a "orang yang selalu berwudu senantiasa akan merasa solat walaupun ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia Ya Allah".

7. Amalkan istighfar setiap saat 
Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah.

Hadapi Dugaan Dan Masalah Dengan Bijak

Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang paling besar hinggalah masalah yang paling kecil semuanya tetap dinamakan masalah. Cuma masalah yang dihadapi seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Biasanya sebelum masalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana kita tidak tahan menghadapinya.


Ujian Iman
Masalah sebenarnya ujian Allah s.w.t kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketaqwaan kita terhadap-Nya. Sebab sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh dengan keseronokan dan sentiasa ingin mencuba benda yang baru walaupun perkara itu jelas haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia, contohnya mengambil dadah dan hanyut dalam dunia maksiat, dengan adanya ujian seperti ini, ia akan kembali mengingati apakah hidup kita selama ini mengikut peraturan atau landasan yang telah ditetapkan Alllah ataupun telah jauh menyimpang.

Setiap masalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang menyiksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah s.w.t untuk menguji sejauh mana iman kita. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana firman Allah :

"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan "kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang berdusta." (al-Ankabut:2-3)

Darjat Di Sisi Allah
Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai 'kifarah' dosa yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya> Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah :286 yang bermaksud "Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya"

Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka." (at-Taubah:11

Cara Mengatasi Masalah
1. Sandarkan harapan pada Allah s.w.t
Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1 hingga 8 yang antara lain maksudnya ".....Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan"

" Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal." (At-Taubah: 129)

2. Mintalah pertolongan dari Allah
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (al-Baqarah:45)

3. Jangan sedih dan kecewa
" Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamubersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." (al-Imran :139)

Yakinlah dengan janji Allah itu dan jangan cepat berputus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat firman Allah di bawah:

"....dan jangan lah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir" (Yusof : 12)

4. Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai, walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang kita tanggung.

5. Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain, mungkin masalah orang lain lagi besar dari masalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan masalah.



Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan taqwa kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah tersendiri.


" Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." - (al-Baqarah:216)

Hendaklah Berfikiran Positif

Daripada Jabir bin Abdillah r.a bahawasanya dia telah mendengar Nabi s.a.w bersabda tiga hari sebelum baginda wafat " Janganlah mati seseorang daripada kamu melainkan hendaklah dia bersangka baik kepada Allah Azzawajalla".

Allah Maha Pengampun

"Jika ada yang menimpa seorang muslim, baik berupa rasa letih, sakit, kebingungan, kesedihan, kezaliman orang lain, kesempitan dihati, sampai duri yang menancap di badannya, maka allah akan jadikan semua itu sebagai penghapus dosa-dosanya"

(HR. Bukhari)

Saturday, March 8, 2014

Ibadat Adalah Hubungan Langsung Antara Hamba Dengan Allah


Ibadat di dalam Islam ialah merupakan pertalian terus menerus antara hamba dengan Allah s.w.t tanpa perantaraan baik dengan orang biasa atau golongan ulama. Dalam hubungan ini, seorang manusia sewaktu menyembah Allah s.w.t bebas daripada sebarang perantaraan atau wasitah dan tempat kerana semua tempat yang suci di bumi boleh digunakan untuk melakukan ibadat kepada Allah s.w.t.

Bagi mencapai matlamat menghubungkan seorang hamba dengan Allah s.w.t tidak memerlukan tempat-tempat tertentu atau wasilah seperti terdapat di setengah-setengah agama lain.

Firman Allah s.w.t : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu darihal-Ku, maka (beritahu kepada mereka ) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada Aku supaya mereka menjadi baik serta betul.

Tempat keluarnya Dajjal

Dajjal akan keluar dari arah timur, dari Khurasan, dari kampung Yahudiyyah kota Ashbahan. Kemudian mengembara ke seluruh penjuru bumi. Maka tidak ada satu pun negeri yang tidak dimasukinya kecuali Mekah dan Madinah, kerana kedua kota suci ini dijaga oleh malaikat.

Dalam hadis Fatimah binti Qais terdahulu disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda mengenai  Dajjal :

Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau Laut Yaman. Oh tidak, bahkan ia akan datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur...Dan baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur.
          (sahih Muslim 18: 83)

Diriwayatkan dari Abu Bakar As-Siddiq r.a, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami:

Dajjal akan keluar dari bumi ini di bahagian timur yang bernama Khurasan.
          (Jami' Tirmidzi dengan syarahnya Tuhfatul Ahwadzi, Bab Maa Saa-a min Aina Yakhruju 
           Ad-Dajal  6: 495. Al-Albani berkata, "Sahih" Vide : Sahih Al-Jami' Ash-Sha-ghir 3: 150,
           Hadis nombor 3398)

Dari Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda :

Dajjal akan keluar dari kampung Yahuddiyah Kota Ashbahan bersama tujuh puluh ribu orang Ashbahan.
         (Al-Fathur Rabbani Tartib Musnad Ahmad 24:73. Ibnu Hajar berkata, "Sahih." Periksa:
          Fathul-Bari 13: 32. Ibnu Hajar berkata " Adapun mengenai tempat dari mana ia keluar ?
          Maka secara pasti ia akan keluar dari kawasan timur. " (Fathul-Bari 13: 91)

Ibnu Katsir berkata, "Maka Dajal akan mula muncul dari Ashbahan, dari suatu kampung yang bernama Al-Yahudiyyah. "
        (An-Nihayah Fil Fitan wal Malahim 1: 128 dengan tahqiq Dr. Thaha Zaini)


 
 

7 golongan dilindungi di bawah bayangan Rahmat

Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: 7 golongan yang akan dilindungi Allah swt di bawah bayangan rahmatNya pada hari yang tiada bayangan selain daripada bayangan rahmatNya iaitu: 



  • Pemerintah yang adil 
  • Pemuda yang menggunakan masa muda remajanya untuk beribadat kepada Allah
  • Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid 
  • Dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah. 
  • Mereka berkumpul dan berpisah kerana Allah 
  • Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita, lalu dia berkata: “Sesungguhnya saya takut kepada Allah” 
  • Seorang yang memberi sedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya 
  • Lelaki yang mengingati Allah berseorangan sehingga berlinangan air matanya. 

(Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain)